Mustapa (tengah) bersama Amirsham (kiri) dan Noharuddin ketika mengumumkan Prestasi Pelaburan 2012, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA  
Mustapa (tengah) bersama Amirsham (kiri) dan Noharuddin ketika mengumumkan Prestasi Pelaburan 2012, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA
 
Jumlah pelaburan sektor swasta yang dilaksanakan di Malaysia tahun lalu mencecah paras tertinggi dalam sejarah berjumlah RM139.5 bilion, melonjak hampir 25 peratus berbanding RM111.8 bilion pada 2011.
Ia juga adalah 9.1 peratus lebih tinggi berbanding sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu sebanyak RM127.9 bilion. Jumlah pelaburan yang diluluskan tahun lalu pula berjumlah RM162.4 bilion, yang juga adalah rekod tertinggi dalam sejarah. Ia membabitkan 6,442 projek yang bakal mewujudkan kira-kira 183,000 pekerjaan baru.
Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, 78 peratus atau RM127.6 bilion adalah disumbangkan pelaburan domestik yang dipacu oleh pelaksanaan beberapa projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). Selebihnya, iaitu sebanyak RM34.8 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI).
Pelaburan dalam sektor perkhidmatan menyumbang sebahagian besar daripada jumlah itu, iaitu RM117.6 bilion atau 72.4 peratus, diikuti oleh sektor pengeluaran (RM41 bilion), serta sektor asas seperti perladangan dan perlombongan (RM3.8 bilion).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia mampu mencatatkan prestasi terbaik dalam sejarah itu meskipun dunia berdepan arah aliran pelaburan yang suram tahun lalu.

Malah, katanya kebanyakan pelaburan yang diterima negara ini tahun lalu adalah membabitkan bidang teknologi baru khususnya dalam sektor aeroangkasa, semikonduktor, solar, jentera dan peralatan, produk petroleum dan petrokimia, peralatan perubatan serta minyak dan gas.
“Pencapaian mengagumkan itu dicapai hasil daripada strategi kerajaan untuk menarik pelaburan yang bermutu, termasuk mengukuhkan ekosistem dalam negara bagi industri sedia ada untuk mengisi ruang dalam seluruh rantaian nilai ekonomi,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi pelaburan negara bagi 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Amirsham Abdul Aziz dan Ketua Eksekutif MIDA, Datuk Noharuddin Nordin.
Mustapa berkata, Malaysia kini telah meningkatkan reputasinya sebagai hab global dan serantau bagi sektor perkhidmatan serta pembuatan.
Kedudukan itu, katanya membolehkan Malaysia terus menarik pelaburan yang akan mempercepatkan transformasi negara ke arah industri bernilai tambah tinggi, teknologi maju, berintensifkan pengetahuan serta berasaskan inovasi.

“Antara syarikat yang menubuhkan hab global dan serantau mereka di negara ini termasuk Freudenberg-NOK ST, Spansion, Frost & Sullivan, Darden dan IBM,” katanya.

Mengenai prospek bagi 2013 ini, Mustapa berkata tinjauannya dilihat lebih positif dengan mengambil kira pelbagai projek yang dirancang antaranya menerusi ETP, Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) serta di beberapa koridor pembangunan seperti di Iskandar Malaysia dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang baru dilancarkan. Sumber Berita Harian: 1 Mac 2013