Penempatan terawal Mesolitik?
|
Kedudukan asal rangka manusia dari zaman Mesolitik yang ditemui di Gua Bewah. – Ihsan Muzium terengganu
|
KUALA TERENGGANU 11 Feb. – Lembaga Muzium negeri tidak menolak kemungkinan penemuan rangka manusia di Gua Bewah, Tasik Kenyir, baru-baru ini menunjukkan negeri itu pernah menjadi tapak penempatan manusia purba terawal Zaman Batu Pertengahan (Mesolitik) di negara ini.
Sekiranya kenyataan tersebut benar ia bakal mengubah fakta sejarah Malaysia sebelum ini yang menyebut Terengganu hanya menjadi salah sebuah negeri yang dihuni manusia Zaman Batu Akhir (Neolitik).
Zaman Batu Pertengahan di Tanah Melayu dan di pulau-pulau di Nusantara ditetapkan masanya oleh ahli antropologi dan pakar sejarah dalam lingkungan masa dari tahun 800 sebelum Tahun Masihi.
Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, penemuan
tersebut menunjukkan sudah ada penempatan manusia terawal kerana
mempamerkan cara pengebumian manusia pada zaman berkenaan apabila
melihat rangka ditemui kelihatan meringkuk iaitu sebagaimana keadaan
bayi dalam kandungan.
Katanya, asal usul sekelompok manusia Zaman Batu Pertengahan
(Mesolitik) sebenarnya tidak dapat dipastikan dengan jelas kerana kajian
secara berterusan akan dilakukan.
‘‘Yang pasti kajian akan dilakukan, sebarang keputusan akan
diputuskan kemudian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mohd. Yusof mengulas mengenai penemuan beberapa serpihan tulang
dipercayai rangka manusia yang dijangka berumur 8,000 hingga 10,000
tahun sewaktu kerja ekskavasi di Gua Bewah, baru-baru ini.
Semasa ditemui rangka berada di dalam posisi yang dipercayai merupakan cara masyarakat zaman tersebut mengebumikan mayat.
Pakar arkeologi dari Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Prof. Nik Hasan Shuhaimi Nik
Abdul Rahman dalam kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya percaya
rangka tersebut milik manusia berdasarkan ciri-ciri lengkap tulang yang
ditemui sama dengan rangka manusia.
Bagaimanapun katanya, jantina dan umur rangka manusia itu masih belum dikenalpasti.
Rangka tersebut ditemui pada kedalaman 75 sentimeter dan ia merupakan
penemuan terbesar selepas rangka pertama yang ditemui pada tahun 1975
di Gua Batu Tok Bidan berdekatan gua tersebut.
Kesemua rangka yang hampir lengkap dari kepala hingga kaki itu ditemui dalam keadaan tulang telah patah dan pecah.
Mohd. Yusof berkata, selain penemuan rangka manusia mereka menemui
pelbagai artifak dipercayai tanduk kambing, tulang haiwan dan alat batu
jenis sumatralith.
Katanya, ketika kerja-kerja penggalian pada suatu petak, mereka tidak
menemui sebarang artifak kecuali sedikit arang kesan pembakaran beserta
dengan sedikit tulang haiwan bekas sisa makanan.
Sebuah petak baru penemuan baru banyak artifak berupa alat batu yang
terdiri daripada batu pengetuk, batu pelandas, sumatralith, pisau batu
dan sebagainya.
Sepanjang kerja cari gali itu turut ditemui kesan atau sisa tanah liat yang dibakar.
Selain itu katanya, dalam kerja-kerja cari gali di dalam sebuah petak
mereka menemui banyak alat batu, sisa makanan, kesan pembakaran dan
sisa tanah liat yang terbakar.
Dalam beberapa penggalian terdapat beberapa serpihan tulang ditemui di samping tembikar tanah zaman Neolitik.
Di antara serpihan tembikar terdapat serpihan tembikar yang tertulis
corak seakan-akan tulisan rock painting yang pernah ditemui oleh
pengkaji-pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh
Malaysia.
Pada kedalaman 65 sentimeter hingga 70 sentimeter ditemui rangka yang
dipercayai kepunyaan manusia praSejarah Zaman Hoabinh yang disemadikan
dalam keadaan meringkuk.
Namun begitu rangka ini masih dikekalkan pada petak tersebut kerana ia mengambil masa yang panjang untuk tujuan kajian lanjutan.
Sementara itu dalam sebuah lubang lain pula terjumpanya rangka
manusia praSejarah yang diletakkan di atas batu yang disusun cantik
dalam keadaan membongkok.
Penyelidikan akan diteruskan kerana kemungkinan besar, masih terdapat lagi sebahagian daripada rangka manusia.
Rangka ini kemudiannya ditutup dengan menggunakan papan lapis agar keadaan asalnya tidak dirosakkan oleh manusia ataupun haiwan.
Kerja-kerja cari gali di dalam sebuah petak pula terdapat alat-alat yang dipercayai digunakan dalam melakukan upacara ritual.
Penemuan batu lumpur dan tanah liat yang belum dibakar serta
dipercayai digunakan sebagai bedak untuk upacara keagamaan, kematian,
kecantikan dan sebagainya.
Sepanjang kerja-kerja penggalian, alat batu pelbagai fungsi dan bentuk ditemui serta tulang, kulit siput, kijeng arang dan abu.
Rangka manusia yang dipercayai milik manusia pra sejarah, ditemui didalam keadaan meringkuk.
Andaian awal yang dapat dikemukakan iaitu pada zaman ini telah ada penciptaan sesuatu berasas kepada tanah liat.
Masih banyak lagi penyelidikan perlu dilakukan pada masa akan datang
kerana kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan agar maklumat lebih
tepat dapat dikumpul dan didokumentasi serta disebar kepada
pelancong-pelancong.
Tarikh sebenar mengenai period kehidupan masyarakat praSejarah di Gua Bewah belum lagi diperoleh.
Oleh yang demikian kerja-kerja lanjutan perlu diteruskan untuk
mendapatkan lebih banyak sampel untuk dianalisis sehingga kronologi
budaya masyarakat praSejarah di Gua Bewah dapat didedahkan.
No comments:
Post a Comment