Welcome

Thanks for visiting my blog

Tuesday, April 24, 2012

Forest Ecosystem in the World

Forestry Research http:www.fao.org/docrep/00 

Kurangkan Kemusnahan Struktur Hutan (FRIM)


FRIM
Skop: Ecolog kurangkan kemusnahan struktur hutan

INSTITUT Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) sentiasa peka untuk melaksanakan pelbagai kegiatan dan penyelidikan bagi memastikan sektor perhutanan negara diurus dengan mapan. Pada 1999, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan merangkumi beberapa kegiatan pengurusan hutan secara mapan, antaranya, pengurusan hutan asli, sumber bukan kayu atau rotan buluh, ladang hutan dan pemuliharaan kepelbagaian hayat hutan. Dalam bahagian akhir isu ini, Wartawan Berita Harian, MOHD YUSOF SULAIMAN, menyingkap antara penemuan terbaru Frim bagi memastikan kelestarian kawasan hijau di negara ini sentiasa terpelihara.

MENYEDARI pentingnya sumbangan hutan kepada keseimbangan ekosistem, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) memperkenalkan satu kaedah pembalakan mesra alam. Kaedah pembalakan yang dikenali sebagai Ecolog – singkatan Eco Friendly Logging, dijangka dapat mengurangkan kemusnahan struktur hutan.

Biasanya, balak yang ditebang akan ditarik keluar dari kawasan penebangan menggunakan jentolak. Ketika balak ditarik, tanah akan terhakis sementara pokok kecil musnah. Keadaan ini menyebabkan struktur tanah dan hutan berubah. Akibatnya, hutan terdedah dengan bahaya hakisan, banjir lumpur dan tanah runtuh. Bagaimanapun, melalui Ecolog, perkara itu dapat dikurangkan.

Menurut Pengarah Bahagian Hutan Asli Frim, Dr Shamsudin Ibrahim, Ecolog adalah penemuan terbaru Frim bagi memastikan kegiatan pembalakan di negara ini, memenuhi kriteria pengurusan hutan secara mapan.

Katanya, berdasarkan hasil uji kaji yang dijalankan di hutan simpan Jerangau, Terengganu dan hutan simpan Temenggor, Perak, kesan kemusnahan tanah dan pokok lebih minimum daripada kaedah pembalakan biasa.

“Hasil uji kaji mendapati peratusan kemusnahan tanah dan pokok akibat laluan kayu balak lebih kecil berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana kurang berlaku hakisan tanah dan kemusnahan pokok, kualiti air dan struktur tanah di kawasan itu tidak terjejas.

Dr Shamsudin berkata, penemuan Ecolog dijangka dapat menjamin kelestarian hutan sebagai ejen utama keseimbangan ekosistem ini.

Ecolog adalah beberapa komponen utama iaitu sebuah kon, kabel besi dan win (jentera) hidraulik. Beliau berkata, kon akan dipasang pada bahagian hadapan kayu balak yang hendak ditarik. Setelah itu, balak ditarik menggunakan win hidraulik yang diletakkan di bahagian permatang hutan - bukan kawasan penebangan, melalui lorong yang disediakan.

Katanya, proses penarikan keluar itu akan dilakukan berulang sehingga kayu balak yang ditebang berjaya dikeluarkan. Dr Shamsudin berkata, hasil uji kaji menunjukkan hampir 15 hingga 20 balak berjaya dikeluarkan dalam sehari.

“Walaupun produktivitinya berkurangan, ia tetap menguntungkan, terutama kepada mutu hutan di negara ini,” katanya. Melalui Ecolog, ia menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada dunia bahawa hutan negara sentiasa dipelihara.

“Ini yang dikatakan pengurusan mapan, iaitu memanfaatkan hutan bagi tujuan pembangunan dan dalam masa sama mengekalkan fungsi hutan kepada alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kaedah pembalakan yang diperkenalkan itu dapat dimanfaatkan pembalak di negara ini. Mereka tidak boleh sesekali berdalih bahawa kaedah itu kurang produktif atau mahal. Katanya, kos keseluruhan Ecolog dianggarkan di antara RM150,000 dan RM 200,000.

“Pembalak tidak boleh mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka perlu berkorban dan terbabit dalam kegiatan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tanpa kesedaran, apa jua langkah yang diperkenalkan dan kempen yang dijalankan kerajaan tidak akan menjamin kelangsungan sumbangan hutan kepada manusia.
“Sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan hutan diurus dengan mapan, Frim sentiasa bertindak proaktif mengenegahkan pelbagai penyelidikan ke arah keseimbangan hutan di negara ini,” katanya.

Frim sebelum ini memperkenalkan banyak langkah bagi memastikan kaedah pembalakan yang dipraktikkan memenuhi piawaian pengurusan hutan yang mapan dan menjamin keseimbangan alam sekitar.

Menurutnya, dalam kegiatan tanaman semula terutama di kawasan Betau - kawasan penempatan kayu balak yang ditinggalkan, Bahagian Hutan Asli memperkenalkan satu alat yang dikenali sebagai Bob Cat.

Katanya, alat itu memudahkan pembalak mengorek lubang bagi tujuan penanaman semula anak pokok.

Tuesday, April 10, 2012

Pupuk Pelajar Cintakan Hutan, Oleh Zulhisham Isahak

Pupuk pelajar cintakan hutan

MUAR 28 Mac - Peranan hutan terhadap kehidupan manusia amat besar walaupun dalam dunia moden hari ini terutama melalui fungsinya sebagai biodiversiti dan juga pengimbang iklim.
Meskipun 'landskap' asal bumi itu begitu besar jasa dan sumbangannya terhadap manusia, hutan terus dimusnahkan atas nama pembangunan dan arus kemodenan.
Sensitiviti terhadap hutan semakin berkurangan seperti nipisnya lapisan ozon akibat penebangan dan penerokaan hutan yang merupakan salah satu puncanya.
Justeru, kempen kesedaran dan kecintaan terhadap hutan kini semakin banyak digerakkan dan sebenarnya ia belum terlambat walaupun dunia termasuk negara sedang berdepan dengan pemanasan global akibat daripada kemusnahan hutan.
Salah satu pihak yang prihatin dan mendokong usaha itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Dr. Ismail dekat sini yang dipilih bagi meraikan sambutan Hari Perhutanan Sedunia ke-41 Peringkat Daerah Johor Utara di sini baru-baru ini.

Program yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama Pejabat Hutan Daerah Johor Utara yang berpangkalan di Segamat dan Kelab Pencinta Alam SMK Tun Dr. Ismail.
Sebanyak 150 batang pokok ditanam di kawasan sekolah itu oleh kira-kira 80 pelajar dengan diiringi guru-guru dan lebih 20 kakitangan jabatan tersebut dari Segamat, Muar dan Ledang.
Pegawai Hutan Daerah Johor Utara, Shohaimi Md. Sani berkata, sebanyak enam spesies pokok ditanam iaitu daripada jenis balak yang habitatnya berdekatan sungai.
"Spesies tersebut ialah Merbau, Sepetir, Meranti Temak Nipis, Meranti Rambai Daun, Cengal, Kapur dan Kasai. Kita pilih spesies itu kerana bersesuaian dengan tanah dan kawasan sekolah ini yang bersebelahan anak sungai.

"Dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang, kawasan yang ditanam dengan 150 pokok tersebut akan menjadi landskap menarik dan mempunyai kepelbagaian fungsinya," katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, pokok-pokok tersebut akan melindungi tanah daripada hakisan, menstabilkan tanah, mengurangkan kadar tiupan angin, mengawal aliran air dan menyerap karbon dioksida selain memainkan peranan memberi rasa sejuk dan udara segar, mengurangkan habuk serta bunyi bising sekali gus mewujudkan suasana ceria.
Beliau berkata, secara umumnya kesedaran tentang pentingnya hutan memang sudah wujud tetapi pelaksanaan dalam memeliharanya masih di peringkat yang lemah dan tidak proaktif.
"Kita sedia maklum hutan meliputi 30 peratus daripada permukaan bumi dan ia merupakan salah satu 'gudang' terpenting dalam mengawal iklim dunia. Bumi terutama hutan ibarat rumah yang perlu dijaga," katanya.
Sehubungan itu, kata Shohaimi, program tersebut harus dijadikan permulaan dalam usaha memelihara dan memulihara hutan untuk jangka masa panjang bukan sahaja di sekolah tetapi sepanjang hayat.
Tambahnya, selain menanam pokok dan taklimat, program itu juga menyediakan pameran yang menerangkan fungsi dan kesan kemusnahan hutan terhadap alam sekitar selain paparan maklumat fungsi hutan sebagai kawasan tadahan air, kesan tsunami kepada hutan, buah-buahan hutan dan peralatan kemestian semasa masuk ke hutan.

Pengetua SMK Tun Dr. Ismail, Murad Ahmad Ghazali pula berkata, program itu merupakan kali ketiga dengan jabatan berkenaan yang menjadikan sekolah tersebut sebagai anak angkat bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan hutan kepada generasi muda seperti pelajar selain memastikan teknik tanaman yang betul dan sistematik. "Kali ini semua pelajar tingkatan satu hingga lima yang majoritinya dari aliran Sains Tulen dan Sains Pertanian terlibat dalam program ini," katanya.
Separuh daripada 80 pelajar itu katanya, merupakan ahli kelab pencinta alam sekolah tersebut yang ditubuhkan khas untuk aktiviti berkaitan penjagaan alam sekitar.