Welcome

Thanks for visiting my blog

Tuesday, April 10, 2012

Pupuk Pelajar Cintakan Hutan, Oleh Zulhisham Isahak

Pupuk pelajar cintakan hutan

MUAR 28 Mac - Peranan hutan terhadap kehidupan manusia amat besar walaupun dalam dunia moden hari ini terutama melalui fungsinya sebagai biodiversiti dan juga pengimbang iklim.
Meskipun 'landskap' asal bumi itu begitu besar jasa dan sumbangannya terhadap manusia, hutan terus dimusnahkan atas nama pembangunan dan arus kemodenan.
Sensitiviti terhadap hutan semakin berkurangan seperti nipisnya lapisan ozon akibat penebangan dan penerokaan hutan yang merupakan salah satu puncanya.
Justeru, kempen kesedaran dan kecintaan terhadap hutan kini semakin banyak digerakkan dan sebenarnya ia belum terlambat walaupun dunia termasuk negara sedang berdepan dengan pemanasan global akibat daripada kemusnahan hutan.
Salah satu pihak yang prihatin dan mendokong usaha itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Dr. Ismail dekat sini yang dipilih bagi meraikan sambutan Hari Perhutanan Sedunia ke-41 Peringkat Daerah Johor Utara di sini baru-baru ini.

Program yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama Pejabat Hutan Daerah Johor Utara yang berpangkalan di Segamat dan Kelab Pencinta Alam SMK Tun Dr. Ismail.
Sebanyak 150 batang pokok ditanam di kawasan sekolah itu oleh kira-kira 80 pelajar dengan diiringi guru-guru dan lebih 20 kakitangan jabatan tersebut dari Segamat, Muar dan Ledang.
Pegawai Hutan Daerah Johor Utara, Shohaimi Md. Sani berkata, sebanyak enam spesies pokok ditanam iaitu daripada jenis balak yang habitatnya berdekatan sungai.
"Spesies tersebut ialah Merbau, Sepetir, Meranti Temak Nipis, Meranti Rambai Daun, Cengal, Kapur dan Kasai. Kita pilih spesies itu kerana bersesuaian dengan tanah dan kawasan sekolah ini yang bersebelahan anak sungai.

"Dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang, kawasan yang ditanam dengan 150 pokok tersebut akan menjadi landskap menarik dan mempunyai kepelbagaian fungsinya," katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, pokok-pokok tersebut akan melindungi tanah daripada hakisan, menstabilkan tanah, mengurangkan kadar tiupan angin, mengawal aliran air dan menyerap karbon dioksida selain memainkan peranan memberi rasa sejuk dan udara segar, mengurangkan habuk serta bunyi bising sekali gus mewujudkan suasana ceria.
Beliau berkata, secara umumnya kesedaran tentang pentingnya hutan memang sudah wujud tetapi pelaksanaan dalam memeliharanya masih di peringkat yang lemah dan tidak proaktif.
"Kita sedia maklum hutan meliputi 30 peratus daripada permukaan bumi dan ia merupakan salah satu 'gudang' terpenting dalam mengawal iklim dunia. Bumi terutama hutan ibarat rumah yang perlu dijaga," katanya.
Sehubungan itu, kata Shohaimi, program tersebut harus dijadikan permulaan dalam usaha memelihara dan memulihara hutan untuk jangka masa panjang bukan sahaja di sekolah tetapi sepanjang hayat.
Tambahnya, selain menanam pokok dan taklimat, program itu juga menyediakan pameran yang menerangkan fungsi dan kesan kemusnahan hutan terhadap alam sekitar selain paparan maklumat fungsi hutan sebagai kawasan tadahan air, kesan tsunami kepada hutan, buah-buahan hutan dan peralatan kemestian semasa masuk ke hutan.

Pengetua SMK Tun Dr. Ismail, Murad Ahmad Ghazali pula berkata, program itu merupakan kali ketiga dengan jabatan berkenaan yang menjadikan sekolah tersebut sebagai anak angkat bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan hutan kepada generasi muda seperti pelajar selain memastikan teknik tanaman yang betul dan sistematik. "Kali ini semua pelajar tingkatan satu hingga lima yang majoritinya dari aliran Sains Tulen dan Sains Pertanian terlibat dalam program ini," katanya.
Separuh daripada 80 pelajar itu katanya, merupakan ahli kelab pencinta alam sekolah tersebut yang ditubuhkan khas untuk aktiviti berkaitan penjagaan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment