Utusan Malaysia:14.9.2012
Tiga fasa pembangunan
PENYEDIAAN
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025 melibatkan tiga fasa yang
diambil Kementerian Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara adalah
konsisten, berkesan, dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.
Menurut
laporan awal pelan tersebut, fasa pertama yang diambil dalam penyediaan pelan
itu adalah melibatkan kajian semula dan ujian menyeluruh tentang sistem
pendidikan dengan membuat penilaian terperinci prestasi pendidikan selain
memberi tumpuan terhadap keberhasilan murid.
Selain itu,
tambah laporan berkenaan, fasa pertama turut mentaksir punca sebenar dan
penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini selain mengenal pasti
kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk
dicontohi.
''Keberhasilan
murid, penggerak utama, contoh kecemerlangan, kerja lapangan dan temu bual
bersemuka, perbincangan berkumpulan dan bengkel merupakan antara kaedah yang
digunakan pada fasa pertama penyediaan pelan tersebut.
''Hasil
daripada kajian ini akan disahkan melalui proses penyemakan data (triangulasi)
dengan beberapa sumber bebas seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia selain semua hasil
tersebut dinilai secara kritikal oleh satu Jawatankuasa Khas yang terdiri
daripada kumpulan pemimpin kanan kementerian," kata laporan itu.
Tambah
laporan tersebut, bagi fasa kedua penyediaannya, pelan itu memberi tumpuan
kepada penyediaan laporan awal dengan menggunakan input yang diperolehi dalam
fasa pertama bagi mengenal pasti bidang keutamaan.
Katanya,
fasa kedua turut memperincikan program transformasi yang komprehensif mengenai
dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh 13 tahun akan datang
iaitu antara tahun 2013 hingga 2025.
''Fasa ini
merangkumi Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang dijalankan pada April
hingga Julai tahun ini dalam mendapatkan maklum balas dari orang awam. Selain
itu penyediaan Makmal Pendidikan GTP 2.0 yang bakal dilaksanakan dari tahun
2013 hingga 2015 akan menjadi sebahagian daripada pembaharuan Gelombang 1 pelan
tersebut meliputi seluruh tempoh 2013 hingga 2025.
''Kementerian
Pelajaran kemudian akan mengkaji semua cadangan daripada DNPN dan Makmal
Pendidikan GTP 2.0 itu dengan teliti," menurut laporan itu lagi.
Laporan awal
itu menambah bahawa fasa ketiga penyediaan pelan tersebut akan memberi tumpuan
untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan dengan melibatkan rundingan serta
penglibatan dengan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain
bagi mendapatkan maklum balas mengenai laporan awal pelan berkenaan.
Katanya,
rundingan awam secara meluas dan segala maklum balas itu akan disatukan pada
penyerahan laporan akhir pelan berkenaan pertengahan Disember tahun ini.
No comments:
Post a Comment